Keputusan referendum pada Ahad semalam mengesahkan suara majoriti rakyat Turki – BERSETUJU- dengan pindaan perlembagaan.

Berdasarkan keputusan sengit dengan 51.3% mengundi SETUJU manakala 48.3% MENOLAK pindaan perlembagaan tersebut, ia satu yang sukar diramalkan. Paling mengejutkan adalah wilayah-wilayah utama seperti Istanbul dan Ankara telah mengundi MENOLAK dalam referendum kali ini.

Dengan keputusan tersebut, 18 pindaan yang diusulkan akan dilaksanakan, setelah melalui proses politik dan perundangan yang panjang dan penuh polemik. Antaranya adalah perubahan dari sistem parlimen kepada sistem presidensial, had pentadbiran presiden hanya dua penggal, perubahan usia mengundi kepada 18 tahun dan sebagainya.

Namun, paling utama adalah referendum ini membuktikan kejayaan demokrasi yang tulen bagi rakyat Turki. Setiap suara rakyat diambilkira dalam apajua keputusan dan isu besar melibatkan masa depan mereka.

Sejak berdekad lamanya, pemimpin politik Turki ‘berbincang’ untuk mengeluarkan Turki dari kebuntuan sistem pentadbiran dan politik yang merencatkan perjalanan negara selama ini. Sistem presidensial ini diharapkan menjadi penyelesaian terbaik bagi krisis sistemik tersebut.

Dalam sejarah Turki, krisis sistemik ini telah membuka ruang kepada campurtangan tentera khususnya isu pemilihan presiden oleh parlimen yang mencengkam demokrasi Turki. ‘Perlembagaan 1982’ telah membarahkan lagi keadaan kerana kuasa tentera yang mencengkam pelbagai institusi penting negara yang telah dan akan merumitkan krisis politik pada masa mendatang.

Pada April 2007, satu pindaan baru dibuat oleh rakyat Turki yang bersetuju memilih presiden melalui undi popular dan bukan lagi melalui parlimen. Ini adalah satu titik bersejarah dalam sistem pentadbiran Turki.

Bagaimanapun, banyak lagi pindaan diperlukan bagi mewujudkan pentadbiran negara yang efektif. Pilihanraya presiden melalui undi popular yang pertama kali diperkenalkan pada 2014 telah menghalang daripada berlakunya kebuntuan dalam sistem negara.

Banyak lagi langkah yang perlu diambil untuk membetulkan sistem yang tempang dan mengelak berlakunya kebuntuan di masa depan. Melalui persetujuan yang dicapai antara AK Parti dan Parti Nasionalis (MHP), satu pindaan baru telah diusulkan bagi mengurus ketempangan sistem sediaada.

Tujuan utama pindaan ini adalah bagi mewujudkan pentadbiran negara yang lebih efektif dan mengelakkan krisis perlembagaan dalam negara. Dengan pindaan perlembagaan yang baru, pastinya menjanjikan cabaran yang lain, namun bagi majoriti rakyat Turki keputusan ini adalah satu hadiah kejayaan dan simbolik harapan mereka kepada satu masa depan Turki yang lebih baik dan terjamin.

Tulisan : Safwan Saparudin

Gambar : Google

#Turki

#Politik

#Presiden

Berita@Teh Tarik Kini.

Portal BERITA, PANDANGAN dan ULASAN VIRAL PANAS-PANAS!

Like & share kami di:
– Facebook page

https://www.facebook.com/TehTarikKini/

– Facebook group
Teh Tarik Kini FANS
– Instagram

– Twitter

– YouTube

www.tehtarikkini.com

Written by